NEW DELHI, 22 NOV – Bank pusat India dan Maldives telah bersetuju untuk meningkatkan transaksi rentas sempadan menggunakan mata wang negara masing-masing.
Satu memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk rangka kerja bagi mempromosikan penggunaan rupee India (INR) dan rufiyaa Maldives (MVR) telah ditandatangani oleh Gabenor Reserve Bank of India (RBI), Shaktikanta Das dan Gabenor Maldives Monetary Authority, Ahmed Munawar di Mumbai, kelmarin.
“MoU ini menggalakkan penggunaan INR dan MVR dalam transaksi akaun semasa, transaksi akaun modal yang dibenarkan serta sebarang transaksi ekonomi dan kewangan lain yang dipersetujui oleh kedua-dua negara,” menurut RBI dalam satu kenyataan.
“Rangka kerja ini akan membolehkan pengeksport dan pengimport membuat invois dan penyelesaian dalam mata wang domestik masing-masing, yang seterusnya akan membolehkan pembangunan dagangan dalam pasangan mata wang INR-MVR di pasaran pertukaran asing,” tambah RBI.
Perdagangan dua hala bernilai AS$548.97 juta pada 2023, dengan eksport Maldives ke India hanya berjumlah AS$5.14 juta, menurut statistik India. – Bernama