Penyany Aisha Retno meluahkan rasa syukur terhadap kejayaan karya ciptaan dan nyanyiannya berjudul Tak Adil yang kini semakin mengungguli beberapa carta lagu tempatan.
Biarpun kedudukan itu terhasil selepas setahun dilancarkan, Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, memberitahu dia tidak menolak kejayaan bergelar naib juara di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) memberi impak kepada lagu berkenaan.
“Terima kasih AJL40 kerana memberi impak setinggi langit kepada lagu Tak Adil yang tiba-tiba mendaki beberapa carta tahun ini sedangkan sudah setahun umurnya,” tulis Aisha di Threads kelmarin.
Menerusi perkongsian di media sosial Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), lagu berkenaan kini menduduki tempat ketiga dalam senarai 10 Lagu Melayu Paling Tinggi Distrim.
Mengucapkan penghargaan buat peminat, Aisha berkata kejayaan itu juga memberi semangat untuk dia terus menghasilkan lagu baharu pada masa akan datang.
“Makin tak sabar melahirkan karya-karya baharu di persada dimensi genre yang lebih segar,” ujarnya.
Dalam edisi AJL40 yang berlangsung pada 15 Ogos lalu, lagu Tak Adil diumumkan sebagai naib juara dengan membawa hadiah kemenangan wang tunai berjumlah RM50,000. Lagu tersebut merupakan ciptaan Aisha bersama adiknya, Radi.
