CALIFORNIA, 2 SEPT – Seorang lelaki dari Carolina Selatan yang berusaha memecahkan Rekod Dunia Guinness bagi koleksi stoking terbesar berkata beliau kini telah mengumpulkan lebih daripada 2,000 pasang stoking.
Darryl Parker, penduduk North Augusta yang merupakan pesara anggota bomba dan paramedik, berkata koleksi stokingnya bermula daripada hadiah sempena Hari Bapa, lapor UPI.
Selepas itu, beliau mula menerima lebih banyak stoking sempena pelbagai acara termasuk hari jadi dan ulang tahun perkahwinan.
“Isteri saya berkata, ‘Hei, dengar sini, kamu sudah mempunyai terlalu banyak stoking…’ Kemudian cucu-cucu saya datang dan berkata, ‘Apa kata kita cuba dapatkan Rekod Dunia Guinness?’” kata Parker kepada WRDW/WAGT. “Saya pun fikir, ‘Apa salahnya, mari kita cuba.’”
Rekod semasa dipegang oleh bekas pembaca berita CBS Philadelphia, Jim Donovan, yang mempunyai koleksi sebanyak 1,531 pasang stoking unik yang direkodkan pada 2025.
Parker berkata beliau sudah memiliki lebih daripada 2,000 pasang, namun merancang untuk terus mengumpul stoking sehingga penghujung tahun sebelum menyerahkannya kepada Rekod Dunia Guinness untuk pengesahan rasmi.
Beliau turut berkata stoking baharu yang disumbangkan oleh orang ramai akan didermakan kepada pusat perlindungan tempatan selepas beliau berjaya mencatatkan rekod tersebut.- Agensi
