Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Dua perkara telah dibangkitkan berkaitan cadangan pakej tambahan pada kos yang lebih rendah bagi hal ehwal haji serta usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam mengurangkan tempoh giliran menunggu bagi bakal jemaah haji.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman, telah memberi respons kepada perkara yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam pada hari kelima Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi tahun 2025 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan, pada tahun 2024, sebuah jawatankuasa ad hoc bagi meneliti cadangan-cadangan yang disuarakan oleh syarikat-syarikat pengendali pakej haji telah dibentuk, bagi tujuan meneliti sehalus-halusnya harga pakej haji dan menilai secara menyeluruh.
Selain mencari kaedah untuk menangani kenaikan harga pakej haji bagi meringankan beban kewangan bakal jemaah haji, Yang Berhormat Pehin turut menegaskan bahawa adalah penting untuk mengekalkan perkhidmatan pakej haji yang terbaik bagi jemaah haji Brunei.
“Dasar yang sedang berkuat kuasa pada masa ini menghendaki lokasi hotel penginapan terletak dalam kawasan pusat, iaitu sekitar satu kilometer dari Masjidilharam di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah,” jelasnya.
Beliau menambah, “Dasar ini diambil kira bagi memudahkan Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran dan Perubatan) memberi perkhidmatan khusus, termasuk rawatan perubatan kepada jemaah, serta memastikan jemaah mudah mendapatkan bantuan perubatan, terutamanya dalam situasi kecemasan.”
Di samping itu, dasar ini juga bertujuan untuk memudahkan jemaah menunaikan solat fardu lima waktu serta mengerjakan manasik haji atau umrah, seperti tawaf dan sa’i di Masjidilharam, dengan hanya berjalan kaki ke masjid.
Pada masa ini, dasar kerajaan menetapkan bahawa kualiti perkhidmatan haji perlu diutamakan dan dikekalkan bagi memastikan kesejahteraan jemaah haji sentiasa terjaga.
Selain itu, hasil kaji selidik dan maklum balas daripada jemaah haji pada tahun 2023 dan 2024 menunjukkan tahap kepuasan yang positif. Namun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dalam aspek keselesaan penginapan dan penyediaan makanan di Mekah.
Sebagai langkah ke hadapan, jelasnya, usaha penambahbaikan perlu diteruskan melalui soal selidik berkala bagi mendapatkan maklum balas yang lebih tepat serta menyesuaikan perkhidmatan dengan keperluan jemaah.
Menyentuh mengenai pengurangan tempoh giliran menunggu bagi bakal jemaah haji, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan bahawa kerajaan, melalui KHEU, telah berjaya memperoleh peningkatan kuota jemaah haji atas ihsan dan kemurahan hati kerajaan Arab Saudi. Kuota tersebut meningkat sebanyak 150 peratus, iaitu daripada 400 kepada 1,000 jemaah setiap tahun.
Keistimewaan ini menjadikan Brunei berbeza daripada negara lain, di mana kebanyakan negara diberikan kuota sebanyak 1 peratus daripada jumlah penduduk masing-masing. Peningkatan kuota ini secara signifikan telah mengurangkan tempoh menunggu bagi bakal jemaah haji.
Dalam usaha mengurus dan mengurangkan giliran menunggu bagi bakal jemaah haji, KHEU, katanya, akan melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya memberi keutamaan kepada jemaah yang belum pernah menunaikan fardu haji bagi menggantikan jemaah yang menarik diri atau menangguhkan ibadat haji mereka.
Selain itu, pemilihan untuk menunaikan ibadat haji dibuat mengikut urutan dalam senarai menunggu. Walau bagaimanapun, tawaran haji hanya akan diberikan kepada pemohon yang dapat menunjukkan bukti kewangan mencukupi bagi menunaikan ibadat haji dalam tempoh yang ditetapkan.
KHEU juga akan meneliti dari semasa ke semasa langkah-langkah yang difikirkan sesuai tanpa menjejaskan hak pemohon yang lebih awal mendaftar.
“Dengan pelaksanaan kajian berterusan dan penambahbaikan strategik, diharapkan sistem pengurusan perkhidmatan haji di negara ini akan terus berkembang serta memenuhi kehendak dan jangkaan jemaah haji setiap tahun,” jelasnya.