Oleh Nurdiyanah R.
KUCHING, SARAWAK, 24 FEB – Kumpulan Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB) baru-baru ini telah mengikuti Borneo International Convention Expo yang bermula 18 hingga 23 Februari bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).
Rombongan yang terdiri daripada 17 peserta tempatan itu telah diketuai oleh Haji Mohd Daud bin Matarsad dengan dialu-alukan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Wynson Ong.
Kumpulan PeSTAB berjaya menampilkan persembahan bertajuk Pesona Darussalam berdurasi 15 minit yang mengandungi seni tari dan nyanyian. Selain itu, Dayang Norlinah binti Haji Abd Hamid turut menyampaikan pembentangan berjudul The Abode of Peace semasa ekspo tersebut.
Dengan penyertaan kumpulan tersebut dalam acara berkenaan, ia secara tidak langsung menyerlahkan lagi keindahan kesenian dan kebudayaan Negara Brunei Darussalam di samping mengeratkan jalinan persahabatan sesama para penggiat seni negara-negara jiran.
