GAZA, 25 FEB – Program Makanan Dunia (WFP) mengumumkan kelmarin bahawa pihaknya menggandakan penghantaran bantuan makanan ke Gaza susulan genjatan senjata antara Israel dan Hamas, lapor agensi berita Jerman dpa.
“Kebuluran berjaya ditangani buat sementara waktu, walaupun keadaan masih tegang,” kata Ketua Pejabat WFP di Jerman, Martin Frick.
Menurut kenyataan WFP, organisasi itu menyalurkan lebih 30,000 tan makanan ke Semenanjung Gaza sejak genjatan senjata bermula pada 19 Januari.
Purata penghantaran pada Julai hingga Disember 2024 adalah sekitar 12,500 tan sebulan.
“Genjatan senjata ini membolehkan kami menggandakan bantuan,” kata Frick.
Sejak perjanjian itu berkuat kuasa, WFP telah menyediakan makanan, hidangan panas dan roti segar kepada kira-kira sejuta penduduk Gaza.
Menurut WFP, pihaknya juga berjaya menghantar semula bekalan makanan ke utara Gaza buat kali pertama dalam tempoh 80 hari selepas kawasan itu terputus bekalan antara Oktober dan Disember 2024.
Sepanjang tempoh itu, organisasi bantuan sebelum ini memberi amaran mengenai ancaman kebuluran, terutama di utara wilayah berkenaan. – Bernama/dpa
