Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam menerima lawatan perpisahan daripada Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman, hari ini, sempena lawatan ke Negara Brunei Darussalam dari 21 hingga 22 Januari.
Ketibaan Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad di Bolkiah Garison, telah disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Mohammad Haszaimi bin Bol Hassan dan seterusnya menerima Tabik Hormat Panglima daripada kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
Sejurus selesai upacara rasmi, Panglima ATM telah mengadakan kunjungan perpisahan kepada Pemerintah ABDB.
Dalam sesi berasingan, Panglima ATM juga membuat kunjungan perpisahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Dalam perjumpaan tersebut, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad telah menyatakan penghargaan yang mendalam atas sokongan dan kerjasama diberikan oleh ABDB, yang telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan erat di antara kedua-dua angkatan tentera.
Beliau turut menegaskan komitmen ATM untuk terus meningkatkan lagi kerjasama ke arah itu, selain menyatakan terima kasih atas ikatan kerjasama yang kukuh dan usaha kolaboratif yang telah dibina sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad, sebagai Panglima ATM yang ke-22, akan menamatkan perkhidmatan dan secara rasmi menyerahkan tugas pada 31 Januari ini.