Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebanyak 13 unit alat sukat dan timbang yang digunakan bagi tujuan perdagangan, kesemuanya didapati sah, tepat dan berdaftar dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) selaras dengan Akta Sukatan dan Timbangan 1983 (Penggal 151) dan Peraturan-Peraturan (Penelitian) Alat-Alat Suktan dan Timbangan 1994 Ceraian 3 (1) dan (2).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, menyatakan dapatan itu adalah hasil daripada operasi yang didakan oleh Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) dan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) melalui Jabatan Hal Ehwal Pengguna di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam operasi bersepadu secara bulanan ke atas beberapa buah premis perniagaan di Daerah Tutong pada 14 Disember lalu.
Sementara itu, dua buah premis perniagaan telah didapati gagal mematuhi Akta Kawalan Harga (Penggal 142) dan Peraturan-peraturan di bawahnya iaitu Bab 38 dan Bab 5 masing-masing berkaitan dengan menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan bagi barangan yang dikawal harga dan tidak mempamerkan tanda harga pada sebahagian barangan yang dijual dalam premis perniagaan.
Berikutan kesalahan-kesalahan berkenaan, pihak JPES telah mengeluarkan dua notis amaran kepada premis-premis perniagaan berkenaan. Semasa operasi dijalankan, para peniaga juga dinasihatkan supaya sentiasa patuh terhadap Akta Kawalan Harga (Penggal 142).
Para pengguna alat sukat dan timbang dinasihatkan untuk memastikan alat-alat sukatan dan timbangan yang digunakan semasa aktiviti jual beli yang melibatkan bacaan tanda berat, isipadu, ukur panjang dan lebar mempunyai pelekat pendaftaran yang mengandungi tempoh penggunaan yang sah yang dikeluarkan oleh Unit SDT.
Di samping itu, para peniaga disarankan supaya sentiasa mempamerkan tanda harga dengan jelas dan betul serta mengoptimumkan aplikasi mudah alih PenggunaBijak untuk mendapatkan harga maksimum terkini bagi barangan dikawal harga dan seterusnya memastikan barangan berkenaan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan iaitu Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) melalui e-mel, [email protected] atau talian, 2334092 dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna, JPES melalui Talian Darussalam 123 dan aplikasi mudah alih PenggunaBijak atau e-mel, [email protected].
Antara operasi yang dijalankan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SDT