Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Pada 1 Januari lalu, genaplah usia 104 tahun Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) sekali gus menandakan pasukan tertua di negara Brunei yang telah berkembang bukan sahaja sebagai penguat kuasa dalam membanteras dan mencegah jenayah, tetapi juga dalam menegakkan kedaulatan dan keamanan negara.
“Perlu diingatkan bahawa pegawai dan anggota pasukan polis hendaklah sentiasa menanai amanah secara profesional, berdisiplin tinggi, bersifat adil dan tidak pilih kasih.
“Jadilah pegawai dan anggota pasukan yang proaktif dalam sama-sama menjadikan pasukan polis sebuah organisasi yang cemerlang, dipercayai dan disegani oleh masyarakat,” nasihat khatib semasa khutbah Jumaat yang bertajuk Mensyukuri Nikmat Keamanan dan Kesejahteraan.
Khatib seterusnya berharap agar warga pasukan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan mencapai ke tahap yang tinggi bagi memikul tanggungjawab yang diamanahkan.
“Jadilah contoh dan inspirasi yang baik kepada generasi masyarakat agar kerjaya sebagai polis ini tidak dipandang sambil lewa, kerana kerjaya polis inilah yang bertanggungjawab melindungi masyarakat daripada jenayah yang mengancam kedaulatan negara,” tekannya.
Menurutnya lagi, sejajar dengan era siber dan perkembangan teknologi yang semakin canggih dan pesat, pasukan polis hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam memacu prestasi, kualiti dan kecekapan yang lebih cemerlang dalam menangani trend jenayah yang semakin mencabar dan kompleks terutama jenayah siber yang semakin berleluasa.
Mengikut statistik jenayah siber yang pernah dilaporkan pada tahun lepas, terdapat lebih daripada 848 kes penipuan dalam talian, yang mana 88 peratus daripadanya adalah warga tempatan.
Manakala dalam kes-kes penipuan tersebut, kebanyakannya berumur 36 tahun ke atas dan jumlah keseluruhan kerugian sudah melebihi $2.5 juta dan kini jenayah siber sudah hampir setara dengan jenayah curi.
Bagaimanapun, bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam mempertahankan kedaulatan dan kestabilan, PPDB telah mengatur strategi dan merangka perancangan yang mantap dalam menangani jenayah era baharu yang datang dalam pelbagai bentuk agar Brunei menjadi antara salah sebuah negara yang paling selamat di dunia.
PPDB juga akan sentiasa bersiap sedia dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang semakin rumit dan kompleks agar pasukan ini sentiasa berada satu tapak di hadapan dalam memastikan keamanan sentiasa terjamin.
Sememangnya tugas menjaga keamanan negara, tegas khatib, merupakan tugas dan tanggungjawab utama pasukan polis, tetapi peranan masyarakat turut serta menangani keselamatan dan menjaga keamanan amat penting mengikut kapasiti masing-masing dalam sama-sama melindungi dan menjaga keamanan demi mempertahankan kedaulatan dan kestabilan negara yang dicintai ini.
Sehubungan itu, kerjasama padu antara pasukan polis dan masyarakat adalah sangat diharapkan dalam sama-sama membanteras jenayah demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara.
“Dalam kita meraikan kebaikan dan kemaslahatan serta menolak keburukan dan kemudaratan, maka segala usaha hendaklah digembleng secara bersama. Ketahuilah agama Islam menggalakkan umatnya supaya hidup saling tolong-menolong dan bantu-membantu ke arah perkara yang baik dan berkebajikan,” jelasnya.
Agama Islam sangat mementingkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian dalam hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara, oleh itu, PPDB sebagai peneraju utama untuk menegakkan undang-undang adalah antara agensi keselamatan kerajaan yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan bagi membanteras dan mencegah jenayah dan perbuatan mungkar di negara ini.
Disebabkan itulah, kita selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam yang bertuah ini, kita tidak boleh lalai dan leka, kita wajib mensyukuri nikmat kurnia Allah dan sentiasa menjaganya agar nikmat keamanan dan kesejahteraan di bumi Darussalam sentiasa berkekalan.
Nikmat keamanan dan kesejahteraan setentunya anugerah yang istimewa daripada Allah kepada kita, keamanan dan kesejahteraan adalah keadaan di mana seseorang, masyarakat dan negara berada dalam suasana harmoni, hidup rukun damai dalam kestabilan fizikal dan ketahanan jiwa, bebas daripada ketakutan dan gangguan.
Sehubungan dengan itu, sempena Tahun Baharu Masihi 2025 dan sempena Memperingati Sambutan Hari Polis ke-104 tahun ini, khatib menyeru untuk sama-sama berdoa agar Allah akan melimpahkan rahmat berupa keteguhan iman, kesihatan, keamanan dan kemakmuran untuk kita semua serta dijauhi daripada sebarang anasir keburukan, kekacauan dan huru-hara.