Di sebalik berita duka mengesahkan dirinya mempunyai masalah jantung, isteri kepada pelawak Shuk Sahar iaitu Fara Salleh turut berkongsi khabar gembira sedang hamil dua bulan.
Menurut Fara, dia mengetahui dirinya mengandung selepas membuat imbasan X-ray ketika melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya baru-baru ini.
“Tak tahu nak gembira ke apa sebab sebenarnya saya baru sahaja didiagnos mempunyai masalah jantung iaitu symptom brugada tahap satu sebab kerap pengsan.
“Memang selalu juga berulang alik hospital, tapi bila buat imbasan x-ray di perut tak sangka rupanya saya sedang hamil.
“Dah masuk bulan kedua usia kehamilan dan doktor kata tak boleh nak buat apa-apa sehingga bayi lahir,” katanya ketika dihubungi mStar.
Bercerita lanjut, jelas Fara dia sepatutnya menjalani operasi pembedahan jantung, namun kerana sedang hamil doktor menasihatinya menangguhkan prosedur berkenaan.
Tambah Farah, fokus utamanya sekarang adalah pada kesihatan diri dan bayi dalam kandungan.
Malah Farah memberitahu doktor memasukkan Implantable Loop Recorder atau ILR ke dalam badan bagi merekodkan data jantungnya.
“Kalau tak saya sepatutnya perlu buat pembedahan jantung jika tidak kena masuk bateri.
“Jadi doktor terpaksa tangguhkan pembedahan ke atas saya kerana ia sangat berisiko untuk saya dan bayi.
“Buat masa ini fokus pada kesihatan bayi dan masukkan ILR untuk monitor jantung,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fara bersyukur di awal kehamilan dirinya belum mengalami sebarang alahan teruk atau mengidam pelik.
Kata Farah, jika sudah tiba masa untuk bayi dilahirkan, doktor dah cadang untuk lakukan secara pembedahan dan bukan kaedah normal.
Untuk rekod, Fara dan Shuk mendirikan rumah tangga pada November tahun lalu dan ini merupakan perkahwinan kedua buat pelawak itu. – Agensi