Oleh Nurdiyanah R. –
Penyakit buah pinggang kronik merupakan masalah kesihatan global yang serius, menjejaskan lebih daripada 850 juta orang di seluruh dunia.
Ia juga adalah punca kematian kelapan tertinggi di peringkat global, dengan lebih 3.1 juta kematian dicatatkan pada tahun 2019.
Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dan merupakan salah satu negara dengan kadar pesakit buah pinggang peringkat akhir tertinggi di dunia, yang juga dikenali sebagai penyakit kerosakan buah pinggang kekal atau end stage kidney disease.
Pendaftaran Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Brunei Darussalam mencatatkan seramai 1,018 orang yang menghidapi penyakit buah pinggang peringkat akhir pada tahun 2023.
Penyakit buah pinggang merupakan penyakit tidak berjangkit sebagai silent killer, kerana ia hanya menunjukkan gejala pada peringkat akhir.
Apabila buah pinggang gagal berfungsi, bahan buangan yang sepatutnya dikeluarkan melalui air kencing akan terkumpul dalam darah, menyebabkan bengkak pada kaki dan muka, hilang selera makan, rasa loya, muntah, keletihan dan kelemahan badan.
Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan, Hajah Wan Aslina binti Haji Ibrahim semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua bagi Institusi Pendidikan Tinggi sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Tahun 2024 bertempat di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), pada awal bulan Oktober lalu.
Beliau seterusnya menjelaskan, pada peringkat akhir itu, pesakit hanya mempunyai dua pilihan rawatan iaitu sama ada menjalani rawatan dialisis atau menjalani pemindahan buah pinggang.
“Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh membawa kepada kematian. Penting untuk diingat bahawa penyakit buah pinggang yang serius boleh wujud secara senyap untuk jangka masa yang panjang tanpa sebaranggejala atau tanda-tanda yang jelas,” tekannya lagi.
RAWATAN JIKA DIKESAN AWAL
Namun, jika penyakit buah pinggang dikesan pada peringkat awal, Hajah Wan Aslina menyatakan rawatan perubatan yang sesuai boleh diberikan dan perkembangan penyakit buah pinggang tahap akhir dapat ditangguhkan atau diperlahankan.
Oleh itu, sekiranya terdapat kecurigaan terhadap masalah buah pinggang, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan segera.
Sehubungan itu, penyaringan individu yang berisiko tinggi adalah penting untuk pengesanan awal penyakit buah pinggang.
Pemeriksaan yang dilakukan merangkumi pemeriksaan tekanan darah, ujian air kencing, ujian darah dan ujian radiologi.
“Apabila ditanya, ramai yang beranggapan bahawa penyakit buah pinggang ini adalah penyakit orang tua.
“Anggapan ini tidak tepat kerana penyakit buah pinggang boleh dialami oleh golongan yang lebih muda, termasuk anak damit dan remaja.”
“Di Brunei Darussalam, diabetes terus menjadi penyebab utama bagi penyakit buah pinggang tahap akhir, menyumbang 74 peratus daripada keseluruhan kes.
“Oleh itu, pengawalan risiko diabetes adalah sangat penting,” tekan beliau lagi
Beliau yang juga selaku pengerusi bersama majlis jerayawara tersebut turut berkata Dengan penganjuran jerayawara sedemikian, ia merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dalam usaha pencegahan, bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya belia, mengenai pentingnya menjaga kesihatan buah pinggang.
BERSAMA PROMOSI GAYA HIDUP SIHAT
Menyentuh mengenai tujuan jerayawara anjuran kerjasama Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan dan UBD itu, Hajah Wan Aslina berkata antara tujuan utamanya ialah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan memberikan maklumat yang tepat tentang penyakit buah pinggang.
Melalui usaha ini, Kementerian Kesihatan berharap dapat memperkasakan individu agar menjaga kesihatan mereka serta membuat keputusan yang berlandaskan fakta.
Jerayawara itu juga memberi tumpuan kepada peningkatan akses saksama
terhadap pemeriksaan kesihatan buah pinggang.
Dalam usaha ini, perhatian khusus akan diberikan kepada faktor risiko penyakit buah pinggang, termasuk diabetes, hipertensi dan obesiti.
“Di samping itu, amalan gaya hidup sihat serta kepatuhan kepada strategi rawatan akan dibentangkan di ruang pameran yang disediakan dan semasa sesi forum.
“Ini merangkumi pemakanan seimbang, pengekalan berat badan ideal, serta penghindaran tabiat merokok dan vaping.
“Selain itu, bahaya pengambilan suplemen dan herba yang sering dipromosikan di media sosial tanpa bukti yang jelas akan diterangkan, agar individu lebih berwaspada terhadap potensi risiko yang mungkin timbul terhadap kesihatan buah pinggang,” kongsinya.
Sebelum mengakhiri kata-katanya, Hajah Wan Aslina terus mengingatkan bahawa kesedaran dan tindakan awal adalah kunci kepada pengurusan kesihatan yang lebih baik.
Di samping itu, beliau juga turut menyeru untuk kita bersama-sama berganding bahu dalam usaha meningkatkan kesihatan buah pinggang di kalangan masyarakat.
“Usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak, bukan hanya petugas Kementerian Kesihatan.
“Dengan mengatasi halangan yang telah dikenalpasti dan merangka strategi kesihatan yang lebih berkesan, diharapkan kita dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah kehidupan yang lebih sihat dan berdaya saing,” luahnya penuh harapan.