KUALA LUMPUR, 17 JAN – Cara penyimpanan makanan di dalam peti sejuk biasanya akan mempengaruhi kualiti dan ketahanan makanan berkenaan, kata Prof Madya Dr Raseetha Vani Siva Manikam.
Pensyarah Program Sains dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains Gunaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata kaedah penyimpanan yang betul dalam peti sejuk juga boleh melindungi makanan daripada tercemar.
“Kita perlu memastikan peti sejuk tidak penuh dan ‘boleh bernafas’. Sayur-sayuran dan buah-buahan juga seharusnya dibungkus dengan plastik atau kertas untuk mengelakkan dehidrasi selain meletakkan sebekas air di dalam peti sejuk bagi mengekalkan kelembapan,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Raseetha Vani berkata makanan yang dibeli dari premis juga mesti diasingkan dan dibungkus mengikut jenis untuk mengelak berlakunya pencemaran silang yang berpunca daripada percampuran makanan basah dan kering semasa disimpan dalam peti sejuk.
Beliau turut mengesyorkan supaya makanan kering disimpan di dalam peti sejuk kerana kajian mendapati langkah itu boleh mengekalkan ketahanan makanan berbanding jika simpan pada persekitaran suhu bilik. – Bernama