Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Para pemenang bagi Cabutan Bertuah Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) sempena Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2024 telah diraikan pada majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Dewan London, Airport Mall, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed sekali gus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir menyaksikan kemeriahan majlis ialah ahli jawatankuasa pengurusan DHSB dan anak-anak syarikatnya; serta ahli keluarga finalis bertuah.
Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2024 telah menarik 1,613 orang peserta, kesemua mereka secara automatik menyertai cabutan bertuah apabila membuat deposit atau pembayaran penuh untuk sebarang produk atau perkhidmatan sepanjang acara tiga hari itu.
Hadiah utama dimenangi Dayang Atiyah Mansurah binti Raffaie, membawa pulang baucar perjalanan bernilai $3,000 untuk perjalanan menunaikan umrah atau baucar perjalanan.
Sementara itu, enam peserta bertuah yang lain memenangi baucar perjalanan ke destinasi popular seperti Melbourne, Jepun, Korea, Bangkok dan Singapura. Manakala lima peserta lain telah menerima hadiah sagu hati jongkong emas seberat dua gram setiap seorang.
Seramai 11 orang finalis telah dipilih dalam cabutan yang diadakan pada 17 Oktober lalu dan disaksikan oleh para hadirin, termasuk pengarah urusan, penolong pengarah urusan dan ketua jabatan serta Jabatan Audit Dalaman dan Pematuhan.
DHSB mengucapkan terima kasih kepada semua peserta atas sokongan mereka semasa Pesta Pelancongan Sabre Brunei dan menantikan lebih banyak acara untuk menawarkan hadiah menarik kepada pelanggan mereka.