Karya seterusnya daripada Christopher Nolan selepas kejayaan Oscar dengan filem Oppenheimer adalah kisah epik The Odyssey oleh Homer.
Filem berkenaan akan ditayangkan di pawagam pada 17 Julai 2026, menurut Universal Pictures baru-baru ini.
Butiran lengkap masih terhad, tetapi studio itu mengatakan bahawa ia akan menjadi, “gambaran epik aksi mitos di seluruh dunia menggunakan teknologi IMAX serba baharu.”
Ia juga akan menjadi adaptasi saga daripada Homer yang pertama kali akan dimainkan di skrin filem IMAX.
Nolan sememangnya peminat IMAX selama bertahun-tahun, sejak filem The Dark Knight dan seterusnya menghasilkan tiga filem terakhirnya secara eksklusif menggunakan filem format besar dan kamera filem resolusi tertinggi.
Untuk Oppenheimer, stok filem IMAX hitam-putih pertama telah dibangunkan. Namun, Nolan tidak menyatakan secara khusus tentang teknologi baharu untuk The Odyssey, tetapi pada awal bulan ini dia memberitahu AP bahawa mereka sedang dalam fasa ujian intensif dengan IMAX dalam persediaan produksi baharu.
“Mereka mempunyai kakitangan kejuruteraan yang luar biasa, fikiran yang sangat cemerlang melakukan kerja yang luar biasa,” kata Nolan. “Sungguh mengagumkan untuk melihat inovasi dalam arena filem seluloid masih berlaku dan berlaku pada tahap paling tinggi.”
The Odyssey akan menjadi kerjasama kedua Nolan dengan Universal Pictures selepas Oppenheimer yang memperoleh hampir AS$1 bilion di box office dan menjadi kemenangan Oscar pertamanya, termasuk kategori pengarah terbaik dan gambar terbaik.
Setelah kejayaan tersebut, timbul pelbagai khabar angin yang timbul hampir setiap hari mengenai projek seterusnya namun tidak ada yang disahkan secara rasmi oleh studio. – AP