SIBU, 13 NOV – Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terperdaya dengan penipuan perniagaan dalam talian, kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili.
Beliau berkata mangsa berusia 60an dan tidak bekerja terjerat selepas menekan pautan di laman Facebook pada 9 Oktober lepas yang membawa ke satu platform e-dagang menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan peluang perniagaan menjual barangan kosmetik berjenama secara eksklusif dalam talian dengan syarat memberikan modal terlebih dahulu untuk meraih keuntungan.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju dan kemudian diminta memuat turun satu aplikasi untuk pengesahan jualan serta penambahan modal bagi stok barangan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dari 13 Oktober hingga 7 November, mangsa telah melakukan 32 transaksi pemindahan wang ke 11 akaun bank tempatan atas arahan suspek kononnya untuk menambah stok barangan.
Pada 10 November, mangsa diberitahu bahawa aplikasi itu telah dibekukan dan diminta membuat pembayaran tambahan sebanyak RM70,000. – Bernama