Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDARS ERI BEGAWAN, 20 DIS – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah terpilih menjadi ahli majlis tertinggi dalam Asia Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN), bagi Pelaksanaan Rancangan Strategik APUCEN 2025-2027.
Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Sidang Kemuncak ke-5 APUCEN yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Disember, di Chongqing, China.
Hadir mengetuai delegasi KUPU SB ke sidang kemuncak berkenaan ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Sidang Kemuncak APUCEN dianjurkan setiap tiga tahun dan sidang tahun ini diselenggarakan oleh Chongqing Perham Education, yang merangkumi Mesyuarat Tertinggi APUCEN sebagai agenda utama.
Di samping pembentangan kertas ucaptama serta pembentangan kongsisama program dan kegiatan libatsama komuniti yang dilaksanakan oleh ahli-ahli Universiti APUCEN antara tahun 2022 hingga 2024.
Menurut Penolong Pensyarah, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed selaku Pegawai Perhubungan KUPU SB-APUCEN, penyertaan KUPU SB dalam sidang kemuncak berkenaan merupakan satu peluang yang sangat berharga bagi KUPU SB untuk memperluas jaringan profesional dan membuka peluang kolaborasi.
Selain bertukar pengetahuan dan pengalaman antara universiti serantau dan antarabangsa agar dapat membantu meningkatkan kualiti perancangan dalam melaksanakan Program Libatsama Komuniti.
Penyertaan dalam sidang kemuncak berkenaan iaitu melalui sesi-sesi pembentangan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, KUPU SB mengenal pasti pendekatan-pendekatan baru dalam mengukayahkan projek atau program libatsama komuniti yang boleh diadaptasi di KUPU SB.
Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam sidang kemuncak itu sekali gus memperkenalkan lagi KUPU SB sebagai sebuah kolej universiti perguruan ugama di arena serantau dan antarabangsa, selaras dengan objektifnya.
KUPU SB turut mengambil bahagian dalam Sesi Pembentangan Kongsisama Kegiatan dengan melaporkan beberapa program dan inisiatif yang telah dilaksanakan.
Pembentangan pertama yang bertajuk Building Bridges: Community Engagement Initiatives by the Fundamental Knowledge Centre at KUPU SB, telah disampaikan oleh Penolong Pensyarah dan Timbalan Pengarah Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dayang Norhazimah Nadzirah binti Haji Misli.
Dalam pembetangan beliau antara lain memfokuskan kepada program libatsama komuniti dan khidmat masyarakat yang dilaksanakan dalam kokurikulum KUPU SB.
Manakala pembentangan kedua, bertajuk Holistic Approaches to Enhancing Mental Well-Being among Students in Brunei Darussalam, telah disampaikan oleh Penolong Pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Sains Kemasyarakatan KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.
Dalam pembentangan beliau antara lain menekankan pelaksanaan program kerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, dan pemegang taruh lain bagi mempromosikan maklumat dan pengetahuan mengenai kesihatan mental.
APUCEN merupakan rangkaian serantau institusi akademik pengajian tinggi berkenaan dengan galakan budaya penglibatan universiti-komuniti dengan cara yang proaktif, inklusif, holistik.
Antara objektif sidang kemuncak berkenaan adalah untuk mengemaskinikan laporan kegiatan-kegiatan libatsama komuniti yang telah dilaksanakan oleh ahli-ahli universiti bagi memastikan matlamat dan arah tuju APUCEN turut tercapai.
Ia juga membincangkan dan memberikan cadangan penambahbaikan bagi para ahli universiti dalam mencapai misi mereka untuk membangunkan dan mengaplikasikan pengetahuan khususnya dalam masyarakat dalam bentuk pemikiran.