Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B melalui jawatankuasa tertinggi berserta ahlinya telah mengadakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-15 Tahun Penubuhan Biro Wanita MPK Sengkurong B, hari ini.
Majlis tersebut turut diselajurkan dengan acara apresiasi serta perpisahan bagi menghargai sumbangan bekas ahli biro.
Hadir selaku tetamu khas di majlis itu, Datin Hajah Rohanie binti Haji Ahmad selaku Penasihat Biro Wanita MPK Sengkurong B dan Pengerusi, Hajah Rukiah binti Haji Mohd Yassin.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat At-Tafrijiyyah yang diketuai oleh isteri Pemangku Ketua Kampung Sengkurong B, Dayang Lauyah binti Haji Muhammad, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Hajah Rosnah binti Haji Tamin.
Majlis diteruskan dengan acara penyampaian penghargaan kepada ahli-ahli yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan pelbagai aktiviti dan program anjuran biro.
Hajah Rukiah dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini bertujuan untuk menghargai jasa ahli-ahli yang telah banyak berkorban dalam memajukan Biro Wanita MPK Sengkurong B, serta menggalakkan semangat kekitaan dan kerjasama dalam kalangan ahli biro yang masih aktif.
Beliau turut menekankan kepentingan menghargai sumbangan setiap individu yang turut menyumbang kepada kemajuan biro, serta mempereratkan hubungan silaturahim antara ahli dan bekas ahli.
Sebagai sebahagian daripada acara, ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B turut mempersembahkan tausyeh yang memeriahkan suasana majlis.
Doa Selamat dibacakan oleh Hajah Rahimah binti Abas sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan dan pencapaian biro.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Azizah binti Haji Mirasan, serta lebih 50 orang ahli dan bekas ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B.