SEMPORNA, 14 NOV – Acara tahunan bagi meraikan warisan tradisi serta budaya suku Bajau daerah ini, Regatta Lepa Semporna, dijadualkan berlangsung Padang Bandaran serta Dataran Regatta Lepa di sini pada 23 dan 24 November ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pelbagai program menarik termasuk majlis perasmian ‘Sangom Maglami-lami’, perarakan lepa tradisi dan lepa berhias, acara sukan laut serta majlis malam penangguhan Regatta Lepa akan diadakan pada pesta kali ke-29 itu.
“Selari dengan tema acara Regatta Lepa: lambang perpaduan masyarakat MADANI, acara itu merupakan salah satu warisan dan tarikan unik di Sabah yang terkenal di peringkat antarabangsa.
“Acara ini memainkan peranan penting sebagai pengikat budaya dan penyatu masyarakat, memperkuatkan dentiti serta keharmonian dalam kalangan komuniti Bajau dan etnik lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata acara itu menarik ribuan pelancong dari dalam serta luar negara dan menjadi platform penting bagi mempamerkan keunikan warisan budaya masyarakat Bajau Laut, termasuk memelihara kemahiran pembuatan bot tradisional Lepa-lepa yang diwarisi turun-temurun.
“Kami berharap acara ini akan menjadi titik tolak yang bermakna bagi perkembangan industri pelancongan Sabah, menjadikan Semporna bukan hanya dikenali dengan keindahan pulau-pulau tropika dan dunia lautnya yang memukau, tetapi juga sebagai pusat kebudayaan yang hidup dan bertenaga,” katanya lagi.
Liew seterusnya mengajak semua pihak termasuk penggiat industri dan komuniti setempat berkunjung ke acara Regatta Lepa berkenaan dan menyaksikan pertandingan pemilihan Budjang Manis dan Lalla Dorogan, tarian Igal-Igal, serta penampilan khas ratu-ratu lepa bersama ratu cilik.
Beliau berkata pelbagai gerai jualan, pameran produk tempatan serta persembahan artis selain pertunjukan bunga api turut diadakan dan orang ramai boleh mengunjungi laman Facebook Pejabat Daerah Semporna atau Hello Sabah untuk maklumat lanjut. – Bernama