NARATHIWAT, 8 NOV – Polis Thailand sedang memburu empat suspek yang disyaki terbabit dalam pembunuhan kejam Datuk Bandar Rueso, Vichet Thaithongnun di sebuah kilang di Pekan Rueso, Narathiwat, selatan Thailand kelmarin.
Ketua Polis Region 9, Mejar Jeneral Polis Piyawat Chalermsi berkata Vichet, 55, diserang empat lelaki yang menyamar sebagai wanita dengan memakai jubah hitam di sebuah kilang di Pekan Rueso.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan empat suspek berpakaian jubah hitam dan bersenjatakan M16 telah menyerbu bilik mesyuarat kilang berkenaan dan melepaskan tembakan ke arah Vichet.
“Suspek kemudian melarikan diri menaiki dua buah motosikal,” katanya.
Piyawat berkata suspek hanya melepaskan tembakan ke arah Vichet dan tidak mencederakan tiga lagi petugas yang berada dalam bilik mesyuarat itu.
Beliau berkata pihak polis turut menemukan 19 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian.
Menurut beliau, polis kini mempergiatkan usaha untuk mengenalpasti identiti suspek dan motif pembunuhan kejam itu.
Beliau tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berkait dengan isu keselamatan, konflik perniagaan, masalah politik tempatan, atau masalah peribadi.
Vichet merupakan Datuk Bandar Rueso untuk penggal kedua dan tempoh perkhidmatannya dijangka tamat pada Mac tahun depan.
Beliau juga dilantik sebagai Presiden Persatuan Sukan Narathiwat, tiga hari sebelum kejadian. – Bernama