Mogul rap P. Diddy berdepan satu lagi pertuduhan baharu melibatkan jenayah seksual terhadap seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di Miami pada 2022.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa yang dikenali sebagai John Doe mendakwa dia diberikan minuman bercampur dadah sehingga tidak sedarkan diri.
Lebih parah, insiden tersebut dipercayai disaksikan beberapa individu lain yang juga merupakan tetamu acara parti penerbit muzik itu.
Selepas sedarkan diri, Diddy didakwa bertindak memalukan mangsa dengan melemparkan kata-kata kesat sambil mempamerkan senyuman mengerikan.
“Mangsa dengar Diddy bercakap tentang dia kepada tetamu lain dalam bilik tidur. Dia masih ingat senyuman menakutkan pada wajah Diddy,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa memaklumkan dadah yang diberikan mengakibatkan dia tidak dapat bergerak bahkan melawan ketika kejadian.
Jelasnya, dia hanya terbaring sehingga pagi sebelum salah seorang pengawal keselamatan Diddy masuk ke bilik tersebut dan menyuruhnya beredar.
Sebelum ini, Diddy berdepan tuduhan yang sama melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Jane Doe’ dalam kejadian yang berlaku di New York pada 2001.
Jane merupakan antara individu pertama yang melaporkan kejahatan Diddy kepada pihak berkuasa.
Selain tuduhan tersebut, Diddy turut berdepan 120 tuduhan keganasan seks melibatkan mangsa bawah umur pada 2 Oktober lalu.
Pada 16 September lalu, Diddy atau Sean John Combs, 54, ditahan oleh pihak polis di sebuah hotel atas tuduhan melakukan perbuatan keji sehingga ramai menjadi mangsa termasuk golongan selebriti ternama.
Diddy yang kini masih dalam tahanan bagaimanapun tidak mengaku atas semua kesalahan yang dibuat. – Agensi