Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Dalam usaha memupuk minat dan meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Arab di kalangan pelajar, Program Hayya Ilal ‘Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), diteruskan lagi di Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah kelmarin.
Hadir selaku Tetamu Khas bagi acara tersebut, Pemangku Pengarah Pengajian Islam di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa, disusuli ucapan daripada pengerusi majlis iaitu Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hasssanal Bolkiah, Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad.
Program dengan tema Maqasid Syariah itu adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingannya dalam pembelajaran, kerjaya dan kehidupan seharian warga sekolah.
Bagi mencapai objektif program, pihak sekolah telah menganjurkan Pertandingan Mencipta Infografik untuk kategori individu dan Pertandingan Mencipta Video untuk kategori kelas yang dibukakan kepada para pelajar sekolah berkenaan.
Majlis kemudian diteruskan dengan persembahan serta tayangan video pemenang, diikuti penyampaian hadiah dan diakhiri dengan lawatan ke petak pameran.
Program berkenaan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dikendalikan oleh sekolah-sekolah Arab bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab di samping untuk memupuk semangat daya saing yang sihat dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah Arab.